Friday, April 30, 2010

Allah menguji Hamba yang disayanginya..

Olie dan keluarga, Akif yang didukung oleh babanya

Semalam, sewaktu melawat FB tiba-tiba terbaca status dari teman-teman tentang keadaan anak seorang rakan cyber yang sedang bertarung nyawa di ICU. Khabarnya Muhammad Nuqman Akif paru-parunya penuh kuman. Tak sedar dengan air mata yang berlinang-linang, saya tadah tangan depan pc, memohon supaya Allah permudahkan urusan buat Adik Akif, memohon semoga kedua ibu bapanya tabah dan redha dengan ujian yang Allah turunnya.

Sebenarnya saya hanya mengenali ibu akif melalui alam maya. Dari zaman kami berfotopages, sehinggalah di laman sosial Facebook. Saya memang mengikuti perkembangan Adik Akif dari zaman dia kecil sehingga umurnya sekarang sudah 7 tahun. Akif anak istimewa. Saya sangat kagum dengan kasih sayang yang Olie dan suami curahkan buat Akif. Dan, saya sangat bangga melihat Hadif (adik kepada Akif) yang begitu dedikasi menyayangi abangnya.

Saya pernah melalui situasi itu. Saya pernah diberi kata dua oleh Doktor. Betapa hancur luluh hati saya apabila doktor memberitahu bahawa anak kami keadaannya sangat tenat. Sangat kritikal. Tidak ada perkembangan. Lama saya termenung. Saya genggam jari hubby. Saya pujuk hati saya. Saya berdoa kepada Allah.. " Ya Allah, sekiranya doa ku sebagai seorang ibu kau ambil kira, aku mohon supaya dikurniakan kesihatan yang baik untuk anak ku Muhammad Hadif Khawarizmi, Kau sembuhkanlah dia dari penyakit yang dihidapinya, berilah aku peluang untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang ibu, dan sekiranya keadaan anak ku itu jika terus hidup akan menjadikan dia anak yang tidak sempurna, aku redha Ya Allah agar kau mengambilnya didalam pelihara mu Ya Allah" Demi Allah, waktu itu, hanya Allah sahaja yang tahu bagaimana perasaan saya sebagai seorang ibu yang merayu memohon agar anak yang dikandung itu diberi peluang untuk hidup atau meminta agar Allah mengambil nyawa anaknya jika keadaannya jika sembuh tidak sempurna.

ni budak ligat yang dulu dok terlantar kat hospital..bertapa 48 hari dok kat icu

Saya sendiri tidak tahu dari mana kekuatan itu hadir. Apabila doktor memberitahu sekiranya anak saya Hadif sembuh pun mungkin dia akan mengalami kecacatan otak atau tumbesarannya terbantut, saya jadi kuat. Pada saya Doktor hanya boleh meramal, tetapi Allah jua yang berkuasa. Saya mahu Hadif sihat, dan setiap hari semasa tempoh berpantang, saya akan ke HKL untuk menghantar susu badan dan melawat Hadif. Saya akan berjumpa dengan ke semua jururawat yang bertugas di NICU 3 itu. 10 pagi saya pergi, 10 malam saya balik. Tempoh berpantang tidak memberi apa-apa makna pada saya. Tidur malam saya bertemankan kain lampin yang dihari siangnya saya lap muka dan badan Hadif. Tak dapat peluk anak, dapat cium baunya sudah cukup melepaskan sesak di dada.

Agaknya di atas apa yang pernah saya lalui, naluri saya sangat sensitif apabila mendengar atau mengetahui ada insan lain yang turut di duga Allah. Rasa simpati sampai ke dasar hati. Rasanya kalau boleh terbang ke Kuantan, ingin saya memeluk Olie, memujuk dan memberi semangat. Semoga Olie dan suami terus redha, bersabar dan terus berdoa. Dan, semoga Allah memberikan apa yang terbaik buat Nuqman Akif.

Teringat macam mana hubby tercinta nak menghiburkan hati saya bawa sampai ke KLCC kerana bila hati susah, tak tak boleh mengepam susu..pam tapi tak de susu..apa lagi, naik sejuk kaki tangan, hahahahha. Kenangan sungguh, tetapi itu membuatkan saya sangat cinta sama suami..hahahahah. Sudahlah saya terpaksa memandang dia makan kerabu mangga dan poktek di Anwar Seafood Kg. Baru dan saya masa tu kena makan nasi kosong dgn ikan bilis..harharhar...
Apa pun, pengalaman dan ujian yang Allah beri ternyata terlalu manis nikmatnya. Melaluinya saya berjaya mendidik hati menjadi seorang yang tabah. Sehingga sekarang, sangat sukar untuk saya menitiskan air mata jika ditimpa masalah. Terlalu besar ganjaran yang Allah beri setelah kami suami isteri diduga dahalu. Allah beri kami Muhammad Hadif Khawarizmi yang petah dan bijak, yang sentiasa menjadi penglipur lara kami, menguatkan lagi cinta dan kasih sayang kami. Ternyata Allah lebih mengetahui apa yang terbaik buat kami... Terima Kasih Ya Allah atas segara rezeki yang engkau limpahkan...

Saya mohon kepada para sahabat yang mengunjungi blog saya ini, doakanlah yang terbaik buat Adik Nuqman Akif ye...

Monday, April 26, 2010

Tak de cerita menarik..

Hari Isnin yang lemau. Mana tidaknya, dari pagi sampai sekarang rasa letih dan lesu sentiasa ada pada diri saya. Hadif tak pergi sekolah, pagi ni dia merungut tak sihat, batuk, selsema..oleh kerana dia selalunya sangat rajin, jadi saya beri dia kelonggaran untuk cuti hari ini. Babah dah bawa pergi klinik dan dah selamat pun makan antibiotik. Tonsil membengkak dengan jayanya.

Balik dari klinik tadi dia call saya dgn nada cerita dok bercerita dia dah terkejutkan doktor dgn topeng gajah dia...dalam sakit-sakit pun nak menakal juga. Teringat gelak ketawa dia dok cerita "mama, saya terkejutkan doktor...doktor jerit oh pocot..." hahahhahaha.

Weekend hari tu kami balik ke Lanchang. Sempat la main-main DSLR (hubby yang lebih) saya posing2 sahaja. Jadi layan gambar sahaja la ye, saya tak de idea nak bercerita...hahahha

Ayie dan Hadif yang beza umur cuma sekitar 2 bulan, tetapi Ayie dah masuk darjah 1 dan Hadif masih tadika..hahhaa. Ayie lahir hujung tahun dan Hadif lahir awal tahun. Badan pun bagai langit dengan bumi, ayie kuss semangat berisi dan Hadif slim melim..heheheh

Gelak besar sungguh Ayie sampai nampak gigi yang rompong hahaha


Gambar Achu yang Ayie cakap macam Sein, dalam cerita Adamaya..kehkehkeh...kenalah mama bajet macam Lisa Surihani saya kata..sekali hubby kata...ahah, masa Maya pregnant...wachaaaa hubby... tak mo kawan...hahahaha

masa utk buli babah...yeehaa... ginilah Hadif kalau dapat menggomol babah...

Hubby suruh saya possing, time tu nak mandi..nak solat zuhur...hentam saja lah...

Wednesday, April 21, 2010

Hadif dan spelling test

Lama tak menulis, mood tak ada. hahahah. Mood bercuti saje yang menyala-nyala. Tapi lambat lagi nak pi bercuti ni...habis cam no? cakap kat hubby yang saya rasa tak de mood nak pi kerja, boring dan bosan. Boleh dia kasi cadangan suruh berhenti kerja. Kalau Hadif mesti dia jawab "idea yang bagusssss" hahahha...Sabar sahaja lah nak menunggu bulan 5, 6 dan 7... adoilah.

Semalam Hadif ada spelling test. Last week punya test dari rumah punya la cemerlang, dok buat revision dengan mama, sekali balik tengok tak memuaskan. Dia kurang keyakinan diri. Boleh eja, tapi tak percaya yang dia eja itu betul. Masa tengok buku yang cikgu dia dah periksa, saya sampai menangis. Bukan menangis sebab marahkan dia, tetapi menangis sebab kasihankan dia yang sebelum ni bertungkus lumus di rumah buat latihan, tetapi tiba masa tak boleh tulis. Anak bujang saya ni ada masalah keliru huruf D dan B. Bila balik ke rumah dia akan mengadu yang dia tak dapat markah yang elok. Kasihan melihat dia...sedih je muka bila bagitau mama tu..

Sebagai permulaan, saya hantar dia tuisyen dengan Teacher Nurul dia. Seronok la dia dapat belajar di rumah Teacher Nurul. Asyik tanya sahaja bila nak pergi rumah teacher nurul lagi, tambahan teacher nurul ada anak kecil. Lagi la dia suka. Balik dari tuisyen nampak berkeyakinan sikit. Dan semalam saya lepaskan dia pergi sekolah dengan doa dan nasihat suruh dia buat baik-baik.

Bila balik dari sekolah dia suruh babah telefon mama kata dia dapat semua betul dalam spelling test. Teacher Nurul hantar sms bagitau "salam. tadi spelling hadif ok. dia tanya; teacher, saya dapat zero lagi ke coz ada kwan dia yang dapat zero. Bila dapat buku so happy, katanya nak bagitau mama" senyum simpul masa saya baca sms teacher Nurul tu. Bila balik rumah saya peluk Hadif, cakap tahniah..mama proud of you sayang..." lepas tu dia tanya saya "mama tak nangis ke? " hahahhahahahhah. Saya cakap pada hubby "anak tu baru je buat spelling test, tapi mama rasa macam anak tu dapat keputusan UPSR pulak.." keh keh keh...

Tuesday, April 13, 2010

Makhluk Asing Betul!

tengok cik abang ni gila kuasa, sampai dua2 joy stick dia pegang...hahahah.

Hadif dah selamat beradu masa saya menulis entry ini. Tidur awal kerana makan ubat batuk dan selsema agak. Kesian tengok dia batuk dan selsema yang tak sembuh2. Baru nak sembuh, pergi sekolah dah meleleh hidung balik.

Hari ini kerja sekolah dah dibuat di rumah opah, jadinya malam ini hanya buat sessi membaca bersama mama. Dek kerana mata dia pun dah kuyu, sempat ulangkaji 3 buah buku sahaja, dia pun pengsan..hahahaha.

Bila pandang wajah Hadif tidur, nampak tenang sahaja. Rasa sekejap sahaja anak saya sudah besar. Rasa jerih perit masa mengandungkan Hadif langsung tak terasa, yang saya rasa perasaan bersyukur kerana Allah beri kesempatan, beri peluang untuk saya dan babah dia membesarkan dia. Sekarang dah pandai demand, dah pandai memilih. Ada satu hari tu, semasa saya, opah hadif dan Hadif dalam kereta menuju ke pasaraya Econsave, saya cakap pada Hadif "Nanti bila Hadif dah besar, carilah isteri yang baik, yang boleh sayang mama...gemuk pun tak apa" sekali dia jawap "gemuk? eiii tak nak la mama" hahhahaha berderai ketawa saya dan mak. Tak sedar agaknya mama dia ni gemuk.

Semalam pula semasa di Q-Dees kasut dia dah dipakai oleh orang lain. Apa lagi, mengamuk sakan lah. Atuk bagitau, punyalah dia marah, membebel-bebel dalam kereta "mahluk asing betul! ambil kasut saya" makhluk asing? aduh..manalah dia dapat perkataan yang diguna pakai dalam percakapan dia ni..risau mama jadinya. Puaslah mama cakap " tak apa,agaknya kawan Hadif tu tak perasan, esok dia pulang balik. tak baik tau cakap kawan macam makhluk asing, berdoasa tau Hadif" Barulah diam sikit. Fuh..fuh..mama kesat peluh dibuatnya..hahahah

oklah, saya nak sambung melipat kain...oh..inilah kerja paling saya tak suka..hahahhaa. Sudahlah sedang syok2 berbual dengan hubby di offshore tiba-tiba talian telefon terputus, bila saya dial balik dia tulis "error connection".....eerrrr...

Sunday, April 11, 2010

Pa..sir...su..rat...ra..kit..si..put..



Hujung minggu yang biasa-biasa kerana tidak ada yang luar biasa. Menjalani rutin harian sebagai seorang ibu yang bekerja, hujung minggulah masa melunaskan apa yang tidak sempat disiapkan dihari kerja, kalau tidak membasuh baju, mop lantai, sapu lantai dah tak payah risau, bibik tak de perasaan dah buat, lepas tu menggosok baju sekolah anakanda Hadif yang ada sepuluh pasang. Lipat kain belum lagi...haahahah saya paling lemah kalau nak kena lipat kain ini, bila la agaknya akan ada ciptaan robot melipat kain. Harap-harap cepatlah penemuan itu, kerana saya sungguh-sungguh tak larat nak melipat kain...hahahhaha.

Malam ini sibuk membantu Hadif mengeja kerana esok dia ada ujian ejaan. Mula-mula saya lembut lepas itu saya garang...hahahhaa. Mana tidaknya, bila cikgu mama dia lemah lembut mengajar, dia pula yang buli mama. Bila suruh eja pasir, dia tanya "boleh tak saya nak eja harimau dulu?" Bila saya tinggikan suara sikit, dia kata "tu nak garang la tu teacher mama tu...teacher Nurul pun garang juga!" hahahahhah. Tetap saya sangat gembira, kalau dari mulanya Hadif boleh mengeja tetapi agak payah menulis, tetapi dalam masa satu jam dah boleh menghafal dan menulis keempat-empat perkataan, tapi lepas tu salah juga kerana dia tulis hurup P terbalik..hahahahah. Tak kisahlah Hadif, janji Hadif mencuba.

oklah, saya nak sambung buat ulangkaji dengan Hadif. Baru tadika, sudah ada spelling test..hahahah. Semoga esok Hadif boleh menjawab dengan baik. Kalau tak dapat betul semua pun tak apa asalkan sudah mencuba. Mahu melatih Hadif supaya tidak mudah berputus asa sebenarnya...

Friday, April 9, 2010

Tak sayang anak la tu...

Selalunya kalau ditanya siapa yang garang, Hadif akan jawab MAMA! masakan tidak, dari dia kecil memang saya yang lebih garang dari babahnya. Maklumlah, jumpa babah dua minggu, jumpa mama setiap hari dalam sebulan. Walaupun sebenarnya kalau dia nak sesuatu, lebih mudah nak dapat kalau dengan mama dia ni. Saya yang menguruskan dia sepanjang ketiadaan Babah dia, kenalah bertegas dan banyak soal jawab kalau dgn mama. Dan, dia memang takutkan saya walaupun saya ni sebenarnya tidak garang mana..hahaha.

Semenjak dua menjak ini, saya banyak layan dia dengan lembut. Banyak ikutkan kehendak dia, dan kalau nak marah pun saya akan cuba sedaya upaya untuk tidak bising-bising. Rupa-rupanya perubahan saya ini membuatkan anak teruna itu juga turut berubah. Bak kata pepatah, "bagi betis mahukan peha" hahahah. Bila saya baru nak marah, Hadif akan cakap begini "tu..nak marah la tu.." atau lebih sadis dia cakap begini "tu tak sayang anak lah tu, ye la..cari la anakyang baru". Terkedu saya jadinya...hahahahah. Terus tak jadi nak marah. Reverse psychology betul la dia gunakan...hahahah

Anak sudah besar, sudah pandai beremosi-emosi. Tambahan pula Mama pula dah mula susut sikap suka nak marah dia. Sebenarnya saya tak suka marah, tetapi biasalah kaum ibu, kalau pakai baju lambat sikit saya bising, kalau asyik tengok kartun kena marah. Kalau dengan Babah, Babah dia ikutkan aje anak kata. Ajak Babah main PS2 Babah ikutkan..dengan Mama? Main Ps2? minta maaflah banyak-banyak, Mama tak minat. Kalau ajak Mama main playdoh sama-sama ok jugak...hahahhaha.

Hari ini Hadif sudah pandai menggunakan perkataan baru yang salah. Dia cakap "mangkuk ayun" pada atuk dan opah dia. Masyaallah, manalah anak itu belajar. Saya rasa saya tak pernah menggunakan perkataan itu. Opah bagitahu Hadif merajuk kena marah dengan atuk pasal cakap perkataan itu. Sebenarnya dia tak tahu pun apa maksud perkataan itu. Inilah yang dia dapat bila bersekolah di KAFA. Tak apalah, nanti bila balik saya akan nasihatkan dia. Budak-budak ni otaknya bagaikan span kan? menyerap sahaja apa yang boleh. Tak kan saya nak cari siapa yang mengajar anak saya cakap perkataan itu, cukuplah kalau saya boleh mendidik Hadif supaya bercakap yang baik-baik sahaja.

Saya coretkan cerita dia diblog saya supaya bila dia dewasa atau bila saya sudah tiada, dia kan mengerti yang mama dia ini sentiasa mahu dia jadi seorang anak yang baik, anak yang baik tingkah laku dan perlakuan, yang berakhlak dan soleh. Biar dia gelak balik bila dia tahu sedari umur berapa dia belajar mengenal sesuatu perkara sama ada yang baik atau yang buruk.

gambar dengan kak NB waktu Pesta buku lalu, lambat upload kerana tak de mood nak pegang kamera..hahah boleh gitu? kak yatie, best sungguh dapat bersembang dgn akak, Insyaallah panjang umur jumpa lagi ye... emmuah.

Qaisara yang sangat comel dan baik, elok aje duduk di gerai sementara ummi dia melayan peminat..

Teringat saya masa di Pesta Buku tempohari, bila Kak NB ajak bergambar dgn Qaisara, dia cabut lari sambil cakap "saya ni kan orang tua.." kes malu dia tak de gigi...hahahhaha. tapi bila saya tanya "comel tak Qaisara tu Hadif?" sambil tersenyum-senyum anggukkan kepala...hahahah.

kalau tengok masa lahirnya ke dunia...hanya Allah sahaja yang tahu perasaan hati Mama dia. Hadif kuat semangat. Doktor-doktor di HKL pun cakap macam tu, "he is a strong boy, always struggle for life" Harap-harap sampai besar perasaan tak putus asa dia kekal dalam diri dia. Amin.

masa ni pertama kali saya dapat menyusukan hadif setelah 42 hari dia lahir, perasaan masa itu punyalah seronok..kecik aje hadif masa tu kan? lahir beratnya 2.8kg, tapi bila dok kat NICU tinggal 2 kg je..

masa ni tengah ligat berjalan, jenuh mengejar..hahahah. Sama kan dia dan Babah dia? photostat. hahahaha.


Thursday, April 8, 2010

Ubat bagi hati..

Lama tidak mencoret cerita-cerita yang terakam indah dalam kotak memori saya dek kerana saya tengah patah hati, tetapi alhamdulillah sekarang sudah ok. Insyaallah kembali tersenyum. Inilah dia kuasa Allah, DIA yang memberi dan mendatangkan kesedihan, Dan DIA jugalah yang meberikan kembali semangat dan kegembiraan. Yang pasti, saya sebenarnya bukanlah seorang manusia yang tidak boleh menerima sesuatu ketentuan Allah, cumanya sebagai manusia, saya mendambakan setiap apa yang dituturkan atau dikatakan oleh siapapun mesti ada penjelasan. Penjelasan yang boleh diterima pakai oleh akal fikiran saya. Insyaallah, jika ada jawapan atas setiap persoalan, saya bukanlah manusia yang begitu payah untuk menerima segala-galanya.

Ditambah dengan disepanjang masa "rehat dan bertapa" saya banyak membaca beberapa buku motivasi, rupanya ia merupakan satu ubat yang mujarab untuk jiwa saya. Semakin saya kenal erti rindu pada Allah, semakin saya yakin hanya pada-Nya sahaja saya boleh bergantung harap. Saya amat bersyukur, kerana diberi ujian yang sebenarnya hanya sebesar zarah, tetapi cukup memberikan saya pengajaran, dan cukup membuatkan saya mengenali siapa insan-insan disekeliling kita. Rambut sama hitam, tetapi hati orang tak dapat kita selami. Ikhlas atau tidak, sayang atau benci, cinta atau kasih semuanya terlalu subjektif. Kita mungkin boleh belajar menerima dan menyayangi orang lain, tetapi kita tidak boleh memaksa orang menyayangi dan menerima apa yang kita buat. Saya tinggalkan semua itu dibelakang tanpa mahu memandangnya waima menoleh. Saya mahu meneruskan kehidupan saya disamping suami dan Hadif yang sangat-sangat saya cintai. Sekurang-kurangnya saya tahu, Allah mengasihi diri saya lalu saya terpilih untuk melalui situasi yang saya alami itu.

Dugaan Allah kepada hambanya adalah berbeza-beza. Dan, saya redha dengan apa yang harus tempuhi, Insyaallah ini membantu saya untuk penjenamaan semula diri saya. Membentuk diri saya yang baru. A New Me, Insyaallah. Manusia memang aneh bukan. Ada masa, yang benar itu menjadi salah, yang salah itu menjadi benar. Kalau terlalu merasa diri sahaja yang betul, itu juga akan merosakkan hati. Saya serahkan pada Allah, dan saya berdoa semoga saya terus kuat untuk menjalankan tugas saya sebagai isteri dan ibu. "Orang yang tidak pernah dibakar mentari, mustahil menghargai rimbun berteduh" - Peribahasa Turki.

Sudah panjang berjela saya menulis, tentu ada yang tertanya-tanya, apa yang menyebabkan saya patah hati? hahahah. Sebenarnya beberapa minggu yang lalu ada seorang wanita yang ingin menyerahkan bayi yang dikandung kepada saya. Insyaallah bayi perempuan. Wanita itu ditinggalkan suami dan tidak mampu untuk membayar kos rawatan perubatan dan kos bersalin. Apabila mendapat berita itu, saya terus bertanyakan kepada hubby sama ada dia mahu untuk memelihara bayi itu. Teruja sungguh saya, maklumlah sudah lama rumah sepi tanpa tangisan bayi. Sudah acap kali Hadif menyuruh saya membeli baby di kedai...hahahah. Saya sudah mendapatkan nasihat doktor untuk menyusukan anak itu nanti. Kiranya memang bagai bulan jatuh ke riba bila orang mahu memberikan anak kepada kita tambahan pula dapat membantu ibunya yang memang dalam kesempitan. Suami pun bersetuju. Mak abah saya pun begitu excited nak menerima cucu baru..hahaha...tetapi atas sebab yang tidak dapat saya kongsi, perancangan hanya tinggal kenangan. Bayi itu Insyaallah akan diserahkan kepada seseorang yang sudi menerimanya. Semoga bayi itu nanti akan dididik dan diasuh menjadi anak yang diredhai Allah. Saya tidak mahu jika saya teruskan niat saya, bayi itu yang akan teraniaya. Saya tidak mahu bayi itu dinafikan haknya atau dibeza-bezakan kasih sayang. Mungkin saya akan menyanyangi bayi itu seperti saya menyanyangi Hadif, tetapi saya tidak boleh memaksa orang disekeliling menerima anak itu, bukan? Saya tidak mahu kesannya dikemudian hari. Saya akan sedih bila anak itu nanti dibeza-bezakan. Lantaran itu, saya menelefon wanita tersebut dan memohon maaf kerana saya tidak dapat memelihara bayinya nanti. Terisak-isak wanita itu menangis dan merayu kepada saya. Itu yang menambahkan luka di hati saya sebenarnya. Mujur ada seseorang yang mahu menggantikan tempat saya. Semoga Allah berikan ganjaran pahala dan murahkan rezeki hamba Allah itu.

Apa pun, Alhamdulillah, saya sudah kembali sembuh. Sudah menjalani hidup seperti biasa dan sudah tidak lagi tenggelam di dalam kesedihan. Saya belajar menerima, tidak semua yang ingin kita miliki akan menjadi milik kita. Hidup mesti terus, dan saya akan belajar dari pengalaman. Saya suka dengan motto hidup yang diamalkan oleh Ustaz Hasrizal Abdul Jamil "Erti Hidup pada Memberi" dan ketika ini saya sedang menyudahkan pembacaan Travelog Tarbiah yang bertajuk Secangkir Teh, Pengubat Letih; buku kelima yang ditulis oleh Ustaz Hasrizal selepas Aku Terima Nikahnya 1, Bercinta sampai ke syurga (ATN2), Murabbi Cinta (ATN3) dan Rindu bau pohon Tin.

Review untuk buku-buku yang sudah saya baca Insyaallah akan saya cari masa untuk tulis nanti. Terasa rugi membiarkan ilmu yang sudah dibaca tetapi tidak dapat dikongsi bersama-sama. Selain dari buku-buku Ustaz Hasrizal yang saya baca, saya juga sudah berjaya menyudahkan pembacaan buku yang dibeli di Pesta Buku KL tempohari iaitu buku tulisan Norhayati Berahim yang bertajuk Layang-Layang Bertali Kaca. Sampai terasa diri masuk dalam cerita Kak Yati tu..hahahahha. Beli hari Sabtu, pagi Ahad dah habis baca. Bising hubby..beli buku banyak-banyak lepas tu baca cepat-cepat..rugi! hahahah. Ada lagi beberapa buku yang belum sempat saya mulakan pembacaan dan Insyaallah akan diselesaikan hujung minggu nanti.

Sebelum saya sudahi entry kali ini, saya nak ucapkan "Selamat Ulang tahun perkahwinan yang ke 32 buat emak dan abah saya. Semoga Allah panjangkan usia kedua orang tua saya dan memberikan kebahagiaan diseluruh kehidupan meraka. Dua orang insan yang tidak pernah berkira kudrat dan nasihat buat saya. Dua orang insan yang banyak mengajar saya supaya tabah dalam hidup, supaya bersyukur dengan apa yang kita ada dan sentiasa menyokong hidup dan penghidupan saya. Mak dan Abah saling bergantungan. Walaupun kami bukan dari keluarga yang kaya, tetapi bahagia dan gembira. Sedari kecil abah dan emak sentiasa mencuba untuk memberikan yang terbaik buat saya dan adik-adik. 32 tahun? adoi, kalau nak dibandingkan dengan usia perkahwinan saya dan hubby, baru 1/4 sahaja hahahaha. "Happy Anniversary Abah & Mak"

Wednesday, April 7, 2010

Selamat Hari Jadi Babah Hadif


gambar lama masa sambut birthday hubby, tahun ni sambut di offshore..

Selamat Hari Lahir buat sang suami...

Semoga dipanjangkan usia, dimurahkan rezeki, diberikan kekuatan memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga, semoga dilimpahkan dengan kebaikan dan kegembiraan dan semoga mencapai segala apa yang diinginkan.

"So today is your birthday
I'm giving you this gift where in your heart forever it will stay.
I appreciate you for the kind of person that you are;
If you look in the sky, to you belong the shines star.
On your birthday, I wish that you're really bless;
Bless for being the very best.

Now, this is from me to you
hoping that you have a Happy Birthday,

On your birthday, I wish that you're really bless;
Bless for being the very best".

Lots of love,
Mama & Hadif Khawarizmi

Thursday, April 1, 2010

Budak montel mama


Tembamkan Hadif masa ni? Gambar ini diambil semasa kami ke Pulau Manukan, Sabah. Masa ni sebelum dia diserang sakit gigi nak undergo the operation. Rindu nak tengok anak mama berisi badannya. Sekarang ni kurus panjang je anak mama...

Jemu betul tengok blog sendiri yang tak ada entry baru. Banyak juga entry yang saya tulis, tetapi terperap dalam draf. Buat masa sekarang perasaan saya tak berapa sihat, sukar untuk saya tulis dan nyatakan di sini. Insyaallah semoga perasaan itu segera berlalu. Saya nak update gambar ke Pesta Buku Tempohari. Kalau sempat malam ini saya letak gambarnya.

"Erti Hidup Pada Memberi"
Hidup ini penuh dengan dugaan, Tak ikut?
Penakut. Kalau ikut? eeii..eii..sukanya dia!!