Puas saya menaip dan menulis. Tulis sebaris ayat air mata berderai-derai. Saya kumpul kekuatan untuk menulis tentang seorang sahabat terbaik dalam hidup saya. Tiada galang gantinya. Perkenalan dari usia belasan tahun, sehingga masing-masing dah masuk usia 32 tahun. Alhamdulillah, persahabatan yang tidak ada pasang surutnya di hati saya. Kalau orang kata bila sudah berkahwin, kita tidak perlukan sahabat baik, bohonglah jawabnya. Kerana, walaupun sudah beranak pinak, saya dan dia tidak pernah berhenti bersahabat. Tidak pernah berhenti berkongsi rasa hati dan cerita.
Allahyarhamah Nurahayu Iswati Binti Ishak, 3 April 1979 - 31 Disember 2011. Selamat bertemu sang pencipta sahabatku Ayu. Tidak ada kata yang dapat aku gambarkan perasaan yang bermain di benak jiwa ini saat menerima berita pemergian mu. Masih teringa-inga di telinga gelak ketawa dan celoteh kau semasa kali terakhir kita bertemu 21 October 2011. Aku datang seorang, tanpa suami dan anak-anak kerana mahu bersembang puas-puas, mahu memeluk dan mendengar cerita kau tentang keluhan hati.
Ayu,
Masa kau bagitahu yang kau rasa masa kau sudah dekat aku buat-buat tak paham. Aku tak mahu menambah sedih di hati, tambahan waktu itu kau tak boleh melihat wajah aku. Masa aku peluk cium kau, kau usap pipi aku dan kata kau tak nampak aku, aku jawab "sama sahaja, tetap gemuk dan tembam aku ni..." dan kau gelak besar masa tu. Masa kita bersembang Afif datang dan kau cerita yang kau geram dengan mulut Afif yang macam orang tua. Aku pun gelak besar sebab Afif cerdik sangat. "Tak pa mama, kalau kat dunia sekarang ni Allah tak bagi mama makan durian, makan pulut, mama sabar naaaa...nanti kat syurga mama boleh makan puas-puas" sambil dia makan pulut depan mama dia.
Masa aku nak balik, kau bisik kat telinga aku..."intan, kita kawan sampai mati ye" aku tahan perasaan, aku tahan air mata. Memang aku dah berjanji Ayu, aku tak akan menitiskan air mata depan kau, aku paling marah kalau orang dok menangis simpati untuk kau, kerana pada aku, kalau kasihkan kau, kalau sayangkan kau bukan air mata jadi bahannya, doa dan kekuatan kata-kata semangat yang perlu diberikan. Sebenarnya Ayu, aku nak buat pengakuan, yang sebenarnya aku tak mampu nak suruh kau bersabar dengan dugaan Allah, kerana aku lihat penderitaan yang kau lalui sangat-sangat hebat, kalau aku ditempat kau, belum tentu Ayu...belum tentu aku dapat melaluinya.
Selepas kau pulang ke Perlis, kita ada juga berhubung di telefon. Sempat mendengar cerita dan luahan hati kau. Masa tu Abah sakit, Abang Haikal ada balik dari Moroco dok jaga abah. Masa tu keadaan diri dan kesihatan kau memang dah lemah. Kau mengadu yang kau rasa nak suruh Najib kawin lain sebab kasihankan dia. Kau bimbang dan takut Najib akan tinggalkan kau. Ayu...Najib suami yang baik. Suami yang hebat. Kalau ada anugerah suami terbaik memanglah akan pergi pada dia. Memang dia jaga kau dengan baik seperti yang dia janji masa aku pesan pada dia dihari pernikahan kalian. Aku pesan supaya dia jaga kawan aku baik-baik. Ternyata memang dia menjaga kau sehingga akhir hayat kau sahabat ku.
Ayu, hari pertama kau di Hospital Alor Setar kau call aku bagitahu yang kau nak masuk wad. Kau kata kali ni lama sedikit, kebetulan ada cuti bersambung. Masa tu suara kau mengah-mengah dan aku tak kasi kau cakap banyak-banyak sebab aku tak sampai hati dengar kau mengah-mengah. Dua hari lepas tu aku call kau semula masa tu kita sempat cakap tapi sekejap sangat. Esoknya bila aku call bibik bagitahu kata kau dah pakai alat bantuan penafasan. Bermula la episod aku hanya merisik khabar melalui Najib, Ifa dan bibik.
Dapat sms dari Najib bagitahu yang doktor nak masukkan jantung mekanikal. Sepanjangan malam aku tak boleh tidur Ayu. Berdoa agar kau diberi kekuatan, kuat semangat dan terus berjuang walau jauh disudut hati aku tahu sangat-sangat Ayu...kau sebenarnya sudah putus harapan, macam selalu yang kau cakapkan pada aku....
31.12.2011 jam 6.30 pagi sms dari Najib masuk. Beritahu yang keadaan kau sangat kritikal dan doktor tak boleh buat apa. Aku berdoa dalam hati agar Allah permudahkan urusan kau, pada Najib aku titipkan pesan supaya serahkan semua urusan pada Allah, mohon yang terbaik untuk kau. Dan, pukul 6.40 pagi sekali lagi sms masuk beritahu bahawa kau telah pergi untuk selama-lamanya. Ayu.... puas aku tahan air mata, puas aku pujuk hati ini, tetapi semasa menadah tangan mendoakan kau aku rebah. Hati aku hancur, luluh. Bukan tidak dapat menerima kau sudah kembali kepada Sang Pencipta, tetapi aku hampa kerana aku tidak ada di sana bersama-sama kau. Sungguh Ayu. Rasa sesal ini aku rasa akan sentiasa bersama-sama aku sepanjang hidup aku. Kau tahu, kalau la aku berdaya, aku akan ke sana juga, tetapi keadaan diri aku memang tak membenarkan aku untuk bertemu sebelum kau dikebumikan. Ayu...aku rindu. Rindu sangat-sangat. Terkilan tak dapat cium kau buat kali terakhir, namun Alhamdulillah kerana Ifa ada mms gambar kau. Allahuakbar...kau sangat cantik sahabat, tenang sangat raut wajah mu, "Allahummaghfirlaha warhamha wa'a fihi wa'fu'an ha." Semoga kau sahabat ku diampunkan dosa-dosa mu dan tenang di sana... Ayu...persahabatan tak pernah mati dan batasan adalah ilusi. Mati itu pasti, insyaallah akan tiba masanya aku juga akan menuruti mu. Setelah bertahun-tahun melalui pelbagai dugaan yang begitu hebat, akhirnya kau temui kebahagiaan yang hakiki.
Ayu, insyaallah, aku akan cuba tunaikan janji pada kau untuk sentiasa tengokkan Afif, tapi percayalah Ayu, Najib ayah yang baik. Terbaik barangkali. Pasti dia kan menjaga dan mendidik Afif menjadi anak yang soleh, yang akan mendoakan kau di sana. Masa aku call Najib tanyakan Afif, ada sendu di suaranya Ayu. Aku tahu dia cuba nak sorokkan kesedihan, tetapi aku tak dapat tahan nangisan, dan sebenarnya kami sama-sama belajar menerima kehilangan kau ayu...
Selamat Jalan Sahabat Sejati, teringat cogankata kita masa di itm dulu "teman sejati, pasti memahami". Oh, air mata ini turun bagaikan hujan, semakin diseka, semakin deras turunnya. Hanya tinggal 2 hari lagi sebelum hari lahir anakanda Afif, dan tinggal beberapa hari lagi hari lahir hadif dan aku ayu...selalunya kau memang tak akan pernah terlupa menelefon dan ucap selamat. Tak pernah. Itulah kau Ayu...seorang sahabatyang tak pernah tidak ada untuk seorang sahabat yang memerlukan. Bukan sahaja di waktu senang, malahan di waktu susah.